comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyeludup lari tinggalkan kereta berisi 850kg minyak masak

Proton Persona berisi muatan 850kg minyak masak bersubsidi dirampas di Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor. – FOTO: Ihsan KPDN

TUMPAT: Pemandu sebuah kereta disyaki sebagai penyeludup nekad melarikan diri sebelum meninggalkan kenderaan yang membawa muatan 850 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

Kejadian berlaku di Kampung Simpangan di Pengkalan Kubor, di sini, selepas suspek menyedari keretanya diekori penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) semalam.

Terdahulu, kereta jenis Proton Persona itu dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika menghala Kampung Simpangan kira-kira 7 pagi.

Pengarah KPDN negeri, Azman Ismail, pihaknya mengekori kenderaan terbabit bermula dari Kampung Bendang Pak Yong, namun sebaik tiba di Kampung Simpangan, pemandunya menyedari kehadiran pihak berkuasa lalu memberhentikan kereta dan keluar melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa 850kg minyak masak bersubsidi yang disimpan dalam kotak dan plastik biru pada bahagian penumpang dan bonet.

“Nilai minyak masak dianggarkan RM2,125 dan diperoleh dari luar Kelantan untuk diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini