KUALA LUMPUR: Suspek berkaitan penyeludupan pendatang asing dicatatkan sebagai kes yang paling ramai ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) [SOSMA] 2012, sepanjang 2013 hingga Oktober lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka yang ditahan melakukan kesalahan itu adalah seramai 829 orang, diikuti jenayah terancang (120), keganasan (24) dan jenayah komersial (14).
Katanya, KDN sentiasa mengkaji dan menyemak akta seliaan dari masa ke semasa bagi memastikan langkah penambahbaikan sentiasa diambil mengikut keperluan semasa.
“KDN turut menubuhkan Jawatankuasa Khas dan Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang Berkaitan Keselamatan pada tahun 2018 bagi mengkaji enam (6) akta yang berada di bawah bidang kuasa KDN termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Jawatankuasa pada ketika itu memperhalusi setiap peruntukan di dalam undang-undang berkenaan dan sudah memberikan pandangan terhadap peruntukan akta-akta berkenaan terutamanya dari aspek perundangan dan hak asasi manusia.
“Jawatankuasa juga sudah memberikan pandangan dari segi implikasi keselamatan yang akan timbul sekiranya akta-akta itu dipinda atau dimansuhkan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara, menjawab pertanyaan Senator Datuk A Kesavadas.
Bagaimanapun Saifuddin berkata, semakan dan kajian perlu dilaksanakan secara berterusan bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam memastikan sesuatu perundangan itu kekal relevan.
“Sebarang cadangan penambahbaikan yang diterima juga akan diperhalusi dari masa ke semasa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.