comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyeludupan diesel RM1.2 juta ke negara jiran, ditumpaskan PPM

GEORGE TOWN: Sindiket penyeludupan diesel ke negara jiran ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu (W1) hasil serbuan ke sebuah premis di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Turut ditahan enam lelaki dalam operasi yang dilakukan Unit Risikan Marin Kuala Kedah/ Perlis, jam 7.30 pagi itu.

Serbuan juga merampas diesel di dalam empat lori tangki bernilai RM1.2 juta.

Timbalan Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, enam yang ditahan termasuk empat warga tempatan dan dua warga Thailand berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun.

Katanya, seorang daripadanya adalah penjaga premis manakala lima lagi adalah pemandu lori tangki.“Siasatan mendapati sindiket itu aktif dalam kegiatan penyeludupan diesel rentas sempadan sejak empat bulan lalu.

“Siasatan lanjut mendapati lori kecil milik rakyat tempatan itu diguna bagi mengisi diesel di stesen minyak sekitar Perlis dan Kedah sebelum dipindah ke dalam lori tangki syarikat tempatan.

“Bagaimanapun, lori tangki itu akan dipandu ke sebuah premis yang terletak kira-kira lima kilometer dari pintu sempadan sebelum bahan api berkenaan dipindah ke lori tangki negara jiran,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Rohizan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan diesel itu dipindah masuk ke lori tangki negara jiran bagi memudahkan proses keluar masuk di pintu sempadan.

“Siasatan lanjut berhubung pembabitan ahli sindiket dalam kes ini masih dijalankan dan kes diserahkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tindakan lanjut.“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 KPDN,” katanya.

Loading...
Terkini