comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyertaan pelajar dalam program perlu patuhi garis panduan – Fadhlina

SEREMBAN: Pelajar tidak dihalang menyertai aktiviti yang membabitkan jemputan orang kenamaan, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa pihaknya juga tiada halangan bagi mana-mana pihak termasuk ahli politik atau pemimpin NGO untuk menghadiri program atau aktiviti di sekolah.

“Saya fikir ini ruang yang paling baik untuk saya tegaskan kembali bahawa apa saja jemputan untuk pergi ke program-program, menyertai aktiviti yang melibatkan orang kenamaan, ahli politik, NGO, mesti mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kita ada garis panduan berkaitan jemputan tersebut dan ia mesti dipatuhi dan mendapat pengesahan serta kebenaran (pihak jabatan).

“Ada proses dia, jadi ikutlah proses itu. Kita (KPM) tiada halangan (sertai atau hadir program) tapi mesti patuhi, kena semak garis panduan tersebut, dipatuhi atau pun tidak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sagga, Siliau Rantau, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah yang mendakwa pelajar sekolah dihalang menghadiri program jika dirasmikan pemimpin negeri.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa tegas terhadap kepatuhan garis panduan berkenaan kerana ia membabitkan kepentingan pelajar.

“Perkara berkaitan sekolah ini, yang nombor satu yang kena ingat ialah keselamatan anak-anak, kedua dari segi kebenaran itu (untuk pelajar sertai aktiviti).

“Jadi patuhi lah garis panduan itu kerana ia ada prosesnya, ia dibuat untuk dipatuhi,” katanya.

Loading...
Terkini