comscore
Tumpuan :
Nasional

Perahu jalur gentian kaca dapat permintaan tinggi pada musim tengkujuh

HULU DUNGUN: Perahu jalur lazimnya digunakan sebagai pengangkutan utama bagi penduduk di Hulu Dungun, Terengganu, setiap kali tibanya musim tengkujuh dan bencana banjir di kawasan tersebut.

Namun disebabkan kesukaran untuk mendapatkan bahan asas dalam penghasilannya telah mendorong seorang tukang bot dari Kampung Pasir Raja untuk membina perahu jalur dengan menggunakan bahan dari gentian kaca.

 

Osmadi Othman, 46 mula membina perahu jalur gentian kaca sejak tahun 2020 selepas menghadapi kesulitan untuk mendapatkan kayu yang berkualiti tinggi di pasaran.

Menurutnya, proses pembinaan perahu tersebut mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu sahaja dengan menggunakan acuan khas yang dibawa dari Hulu Tembeling di Pahang.

Osmadi berkata, permintaan terhadap perahu jalurnya meningkat setiap kali sebelum tibanya musim tengkujuh dan dia juga turut  membaiki perahu milik penduduk kampung yang rosak.
“Perahu yang menggunakan gentian kaca ni boleh bertahan lama namun bergantung kepada lapisannya.

“Satu lagi kelebihan adalah lebih senang dibaiki berbanding perahu kayu. Jika perahu kayu proses baik pulih lebih rumit”, katanya.

Selain daripada pelanggan tempatan, Osmadi juga sering menerima tempahan pelanggan dari luar Terengganu dan bercadang untuk memperluaskan lagi perniagaannya pada skala yang lebih besar.

Hulu Dungun terletak kira-kira sejam perjalanan dari Bandar Dungun dimana ianya mempunyai sembilan buah kampung lagi yang sering terjejas dengan bencana banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Loading...
Terkini