Tumpuan :
Nasional

Perak bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM1.52 bilion

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir pada di Mesyuarat Ketiga tahun Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak darul Ridzuan.- Foto Ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Belanjawan Perak 2025 berjumlah RM1.52 bilion yang merupakan tertinggi dalam sejarah dengan memberi tumpuan khusus bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Belanjawan Perak 2024 memperuntukkan sebanyak RM538 juta untuk belanja pembangunan manakala RM981.80 juta bagi belanja mengurus.

Meneruskan tema “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” sebagai kesinambungan pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, Belanjawan Perak 2025 mengekalkan lima fokus utama seperti tahun 2023 dan 2024 iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan.

Foto Ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Hampir separuh daripada keseluruhan belanjawan negeri disediakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat iaitu dengan penyediaan peruntukan RM628.65 juta.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan rakyat, diperuntukkan RM45.94 juta bagi tujuan mengurus iaitu peningkatan RM3.14 juta berbanding tahun ini.

“Sebahagian besar peruntukan ini dibelanja bagi tujuan Bantuan Am berjumlah RM31 juta. Memahami kekangan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan golongan marhaen, sukacita saya mengumumkan, kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuat kuasa Januari 2025.

“Berita gembira kepada 310 penduduk Rumah Pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan, Daerah Larut, Matang dan Selama berkaitan isu pemilikan rumah yang telah berlanjutan selama 30 tahun. Sukacita saya mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak bagi penyelesaian isu hak milik strata rumah pangsa tersebut,” katanya.

Foto Ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Dalam usaha membangun dan memakmurkan negeri, kerajaan negeri katanya meneruskan tanggungjawab menjaga setiap individu, tanpa mengira latar belakang agama.

Jabatan Agama Islam Negeri Perak diberikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM111.9 juta, dan RM12 juta disediakan bagi tujuan Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) bagi tahun 2025.

“RM6 juta disediakan untuk HEBI Kaum Cina dan Kampung Baru Cina manakala RM6 juta lagi disediakan untuk HEBI Kaum India dan Kampung India serta Lain-Lain Kaum.

“Di samping itu juga, bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pelaksanaan Pelbagai Program Integrasi Nasional.

Dalam perkembangan sama, melalui belanjawan itu juga Saarani turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri Perak.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2025 di Dewan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini