Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Perak mencatat jumlah kumulatif kes denggi sebanyak 6,311 kes pada tahun 2024 berbanding 3,461 kes pada tempoh sama pada tahun 2023.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, Sivanesan Achalingam dalam kenyataannya memaklumkan, jumlah ini adalah peningkatan sebanyak 2,850 kes iaitu 82.3 peratus.
Pada Minggu Epidemiologi 45/2024 sebanyak 98 kes Denggi katanya didaftarkan berbanding 140 kes pada minggu epid yang sama tahun 2023.
“Sebanyak 10 daerah telah melaporkan kes Denggi pada Minggu Epid 45/2024 iaitu Kinta 58 kes (59.18 peratus), LMS 8 kes (8.16 peratus), Batang Padang dan Kampar masing-masing 7 kes (7.14 peratus), Manjung 6 kes (6.12 peratus), Kerian 4 kes (4.08 peratus), Kuala Kangsar 3 kes (3.06 peratus) dan Perak Tengah 1 kes (1.02 peratus). Manakala Hulu Perak dan Muallim masing-masing melaporkan 2 kes (2.04 peratus) kes Denggi pada minggu ini.”
“Secara kumulatif dan kadar kejadian, sebanyak lapan daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tahun lepas kecuali Daerah Hulu Perak, Muallim, Kerian dan Kampar. Manakala berbanding median 5 tahun bagi Minggu Epidemiologi 45/2024 semua daerah melaporkan peningkatan kes.” katanya.
Tambah Sivanesan, jumlah kumulatif bagi kematian denggi sehingga Minggu Epidemiologi 45/2024 adalah sebanyak 13 kes berbanding satu kes untuk tempoh yang sama pada tahun 2023.
Ini termasuk satu kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Selain itu, 22 lokaliti wabak Denggi dicatatkan pada ME 45/2024, dengan wabak 11 lokaliti merekodkan wabak baharu, wabak terkawal di tiga lokaliti, wabak tidak terkawal satu lokaliti, titik panas di satu lokaliti dan wabak tamat di enam lokaliti.
“Sehingga Minggu Epidemiologi 45/2024 yang berakhir pada 10 November 2024, sejumlah 2614 kes (41.4 peratus) dilaporkan berlaku dalam kawasan wabak manakala 3697 kes (58.6 peratus) berlaku di bukan kawasan wabak,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.