comscore
Tumpuan :
Nasional

Perak ceburi industri gelatin Halal, komited terokai pasaran global

Oleh: Kumaran Rajamoney

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Perak mengorak langkah untuk menjadi pemain utama dalam industri Halal menerusi usaha sama pengeluaran gelatin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, kerjasama strategik bersama syarikat antarabangsa, Leiner Gelatine Sdn Bhd dijangka mampu memanfaatkan industri yang mencatat nilai USD 3.7 bilion (RM 15.91 bilion) itu.

“Di Malaysia, import gelatin Halal mencecah 2,800 tan metrik setahun, bernilai kira-kira RM130 juta dimana 30.8% daripadanya atau RM40 juta datangnya dari Pakistan. Pasaran global gelatin dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 6.6% dari tahun 2023 hingga 2028.”

“Daripada jumlah ini, hanya kira-kira tujuh peratus merupakan gelatin halal. Dengan potensi besar industri ini di peringkat global,  Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (Perak SADC) mahu mengorak langkah untuk menjadi pemain utama dalam industri strategik ini,” katanya.

Melalui usaha sama itu, kedua-dua pihak bekerjasama membangunkan industri gelatin Halal dengan sasaran meningkatkan peratusan penggunaan dan pasaran gelatin Halal di Malaysia dan juga global.

Ia sekaligus disasar meletakkan Perak khususnya dan Malaysia amnya sebagai pemain utama industri gelatin Halal global.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perak SADC melalui anak syarikatnya Ladang Lekir Sdn Bhd memeterai Perjanjian Usahasama dengan Leiner Gelatine Sdn Bhd yang juga pengeluar produk gelatin Halal terkemuka dunia.

Ia sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Halal Malaysia 2024 (MIHAS 2024) yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk rekod,  gelatin merupakan bahan semula jadi yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen haiwan seperti lembu, kerbau, dan ikan, memainkan peranan penting dalam pelbagai industri.

Dalam industri makanan, gelatin berfungsi sebagai agen penstabil dalam produk daging, agen pemekat dalam makanan bersos, agen pembuih dalam produk susu dan agen pelembut dalam produk bakeri dan aiskrim.

Selain itu, gelatin juga digunakan dalam industri farmaseutikal, pembuatan kosmetik, dan fotografi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini