comscore
Tumpuan :
Nasional

Perak naikkan kadar sewa PPR setiap dua tahun

Contoh Rumah Program Perumahan Rakyat, PPR. – Gambar fail.

IPOH: Kadar sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Perak akan dinaikkan setiap dua tahun selaras pembaharuan kontrak sewaan.

Langkah itu bertujuan membantu lebih ramai rakyat dalam jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja) berkata kenaikan kadar itu berkuatkuasa 1 Januari 2024 dan bagi memendekkan tempoh menunggu pemohon yang masih dalam status calon simpanan.

Katanya, setakat ini jumlah pemohon yang masih dalam status calon simpanan adalah seramai 950 orang, membabitkan semua 16 PPR di seluruh Perak yang membekalkan 2,876 unit rumah.

Sandrea berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) yang ingin mengetahui jumlah pemohon masih menunggu giliran mendiami PPR pada Mesyuarat Pertama Tahun Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Chin menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Tahun Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. – FOTO: NSTP

Katanya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menubuhkan pasukan ‘task force’ bagi menangani penyewa yang culas membayar sewa dan dilakukan melalui pendekatan sesi konsultasi secara bersemuka.

Menurutnya, tindakan terakhir yang akan diambil ialah dengan membawa penyewa berkenaan ke mahkamah khusus bagi penyewa yang tidak mengendahkan notis-notis yang diedarkan.

Menurutnya sehingga 31 Disember 2023, tunggakan terkumpul bagi sewaan PPR di seluruh Perak adalah sebanyak RM1.06 juta dan usaha itu menampakkan hasil apabila kutipan tunggakkan meningkat kepada RM1.43 juta berbanding tahun sebelumnya, RM0.92 juta.

Beliau berkata bagi tahun 2023, kerajaan negeri sudah memperuntukkan RM4.3 juta bagi LPHP menguruskan PPR yang membabitkan kos bagi kerja-kerja penyelenggaraan, utiliti, kontrak penyelenggaraan lif dan kontrak pembersihan PPR.

Kata Sandrea, manakala kerajaan pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula sudah meluluskan peruntukan RM7.74 juta untuk program penyelenggaraan PPR yang meliputi kerja pembaikan infrastruktur utama merangkumi pembaikan jalan, bumbung, mengecat berjumlah RM2.9 juta.

Menurutnya, kos selebihnya iaitu RM4.84 juta digunakan sebagai peruntukan bagi membolehkan usaha penggantian lima unit lif baharu di Pangsapuri Seri Kepayang, di sini menerusi Peruntukan Lif MADANI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini