comscore
Tumpuan :
Nasional

Perak setuju jual air terawat kepada Pulau Pinang

Saarani pada sidang media selepas merasmikan Program One Stop Centre Kesejahteraan Rakyat Negeri Perak. FOTO: NSTP

MANJUNG: Kerajaan Perak bersetuju menjual air terawat kepada Pulau Pinang susulan kata sepakat dicapai setiausaha dua kerajaan negeri itu kelmarin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata sebuah jawatankuasa bersama sudah ditubuhkan untuk mengkaji kosnya.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai sebelum proses memohon peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi membina loji rawatan air di Kerian, utara Perak.

Projek itu akan memanfaatkan rakyat Perak dengan membantu menyelesaikan isu pengairan sektor pertanian di Kerian dan persediaan pembinaan Taman Industri Teknologi Tinggi seluas 400 hektar di daerah sama seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2024.

“Kerajaan Perak dan Pulau Pinang mencapai persetujuan iaitu Perak akan membekalkan air terawat ke Pulau Pinang, bukan air mentah.

“Kerajaan negeri memang ingin memindahkan air ke utara Perak untuk membantu menyelesaikan masalah pengairan pertanian di kawasan itu.

“Kedua, apabila Perdana Menteri mengumumkan cadangan penubuhan Taman Industri Teknologi Tinggi di Kerian, ia bermakna kita perlu menyediakan bekalan air mencukupi untuk tujuan perindustrian,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program One Stop Center Kesejahteraan Rakyat Negeri Perak di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang dilaporkan berkata, isu berkaitan bekalan air antara Pulau Pinang dan Perak menerusi Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kini memasuki fasa perbincangan yang positif.

Loading...
Terkini