comscore
Tumpuan :
Nasional

Peranan juruukur bahan penting dalam industri pembinaan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR : Peranan juruukur bahan dalam industri pembinaan yang  berkembang pesat tidak boleh diabaikan, malah lebih ramai tenaga profesional teknikal itu diperlukan ketika ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagaimana jurutera dan arkitek, peranan juruukur bahan sangat penting dalam menjayakan setiap pembinaan.

“Mereka (juruukur bahan) terlibat secara langsung dalam pengurusan kewangan dan kontrak binaan dari awal hingga akhir.

“Oleh itu, mereka perlu bekerjasama dengan disiplin lain untuk memastikan kejayaan sesuatu projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Antarabangsa Ukur Bahan (QSIC) dan penyampaian Anugerah Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

FOTO: NSTP

LJBM mempunyai lebih 5,558 ahli yang berdaftar sebagai juruukur bahan profesional ketika ini.

Penganjuran QSIC tahun ini bertujuan merancakkan lagi perbincangan mengenai topik dan isu yang berhubung dengan industri pembinaan khususnya bidang ukur bahan.

Majlis itu turut menyampaikan enam anugerah kepada individu dan kumpulan kerja bagi menghargai sumbangan serta kejayaan dalam bidang ukur bahan.

Enam kategori berkenaan adalah Anugerah Emas, Anugerah Pencapaian Khas (Elit dan Inspirasi), Anugerah Inovasi, Anugerah Waja, Anugerah Perdana dan Anugerah Penghargaan kepada media atas jalinan kerjasama sebagai rakan media LJBM.

Loading...
Terkini