comscore
Tumpuan :
Nasional

Perang Israel-Palestin: Malaysia sokong penuh cadangan pengantara gencatan senjata

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia menyokong penuh cadangan pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) supaya gencatan senjata dilakukan untuk menamatkan pertempuran antara Israel dan Hamas.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut supaya AS bertindak lebih tegas terhadap Israel berikutan keangkuhan rejim zionis berkenaan.

“Kita juga bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri (tadi) dan berikan sokongan kepada Mesir, Qatar dan AS dan saya percaya ia lebih lunak berdasarkan apa saya pernah bincang dengan pimpinan Hamas.

“Cuma sementara kita sokong kuat cadangan ini, kita hanya menuntut supaya AS boleh bertindak lebih tegas terhadap Israel. Masalah sekarang ini ialah kedegilan dan keangkuhan Israel kerana terlalu banyak bencana dan kesengsaraan yang berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, negara pengantara terbabit menyeru Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh Presiden AS, Joe Biden untuk gencatan senjata yang berkekalan.

Prinsip-prinsip itu menggabungkan tuntutan semua pihak dalam satu perjanjian yang memenuhi pelbagai kepentingan dan akan membawa kelegaan segera kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita serta tawanan dan keluarga mereka.

Negara pengantara tersebut turut menekankan bahawa “perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis.”

Biden pada Jumaat lalu berkata Israel telah mengemukakan kepada Hamas, satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah dikepung berkenaan.

Beliau merayu kepada Hamas untuk menerima perjanjian itu dan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menahan diri daripada tekanan ahli gabungan pemerintahannya yang menentang rancangan tersebut.

Lebih 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak Israel memulakan serangannya pada 7 Oktober tahun lalu.

Kebanyakan penduduk yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak dengan lebih 82,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini