comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Perang Israel-Palestin: Malaysia sokong permohonan kali ke-3 Afrika Selatan ke ICJ

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan tindakan terkini Afrika Selatan memohon supaya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah-langkah sementara tambahan ke atas Israel.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Malaysia menyokong sepenuhnya dan menyambut baik usaha negara berkenaan untuk menghentikan genosid ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Langkah-langkah sementara tambahan tersebut menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera, melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan supaya Israel melaporkan tindakan yang telah diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah-langkah sementara kepada ICJ,” menurut kenyataan itu.

Sesi pendengaran awam permohonan berkenaan sedang diadakan di Peace Palace, The Hague dari 16 hingga 17 Mei (waktu tempatan).

Ini adalah permohonan Afrika Selatan yang ketiga sejak ICJ menetapkan langkah-langkah sementara pada 26 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, serangan besar-besaran Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar.

Justeru, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraan.

“Pada 22 Februari lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam berhubung permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ.

“(Ia) mengenai Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur yang telah diadakan di Peace Palace,” menurut kenyataan itu.

Jelas Wisma Putra, Malaysia mengulangi pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat.

Ia berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini