comscore
Tumpuan :
Nasional

Peras ugut lelaki di BSI, dua anggota polis ditangkap 

Foto hiasan

JOHOR BAHRU:  Dua anggota polis yang dipercayai terlibat dalam insiden pemerasan seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, ditahan tengah hari tadi.

Anggota lelaki berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan pada jam 1.50 tengah hari oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Johor Bahru Selatan(JBS).

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar berkata IPD JBS menerima laporan daripada mangsa ada jam 12.23 tengah malam semalam berhubung kejadian.

“Siasatan awal mendapati semasa mangsa berusia 29 tahun melalui BSI untuk pemeriksaan imigresen ditahan oleh kedua suspek, kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Suspek telah memeras ugut mangsa supaya membayar wang sejumlah RM2,000 bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Kumar, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua anggota polis tersebut negatif dari segala jenis dadah.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan dibawa di Mahkamah Johor Bahru untuk permohonan reman pada esok dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Polis Johor komited dalam memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawai, demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang melakukan jenayah berdasarkan prinsip kesamarataan di sini undang-undang dibawah perkata 8 perlembagaan persekutuan,” katanya.

Pagi tadi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim mendakwa kejadian itu berlaku pada 2 April lalu.

Mangsa mendakwa ditemani salah seorang anggota tersebut untuk ke beberapa mesin ATM bagi mengeluarkan duit, biarpun telah menyatakan tiada wang di bank.

Tindakan mangsa yang berpura-pura sesak nafas selepas mengambil wang berjumlah RM1,000 di sebuah Bank di Taman Pelangi berjaya melepaskannya, dengan bantuan pasangan tempatan yang melalui kawasan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini