comscore
Tumpuan :
Nasional

Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah disaman RM310 juta

Kumpulan Aras Niaga Berhad memfailkan saman RM310 juta ke atas Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Kedah dan dua pihak lain. FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Sebuah syarikat tempatan memfailkan saman RM310 juta ke atas Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Kedah yang didakwa melanggar perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani pada 2020.

Peguam mewakili Kumpulan Aras Niaga Berhad selaku plaintif, Firhat Muhammad Fikri berkata pihaknya menamakan tiga pihak sebagai defendan dalam writ tuntutan berkenaan iaitu SSI Kedah, Pengurus Besar SSI Kedah dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

Katanya, tuntutan ke atas semua defendan difailkan pihaknya pada 25 Mac lalu, selepas SSI mengarahkan Kumpulan Aras Niaga menyerahkan kembali tanah seluas 255 hektar di Mukim Semeling, Kuala Muda yang dipajakkannya daripadanya.

Plaintif menuntut ganti rugi akibat mungkir janji terhadap perjanjian tambahan sebanyak RM300 juta dan ganti rugi atas kerja dibuat plaintif dalam melaksanakan projek di tapak berkenaan sebanyak RM10 juta.

“Kami turut meminta satu perintah spesifik untuk melaksanakan perjanjian tambahan tersebut oleh pihak tersebut dan mengabsahkan niat dan tujuan perjanjian tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada sidang media sama, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aras Niaga, Datuk Muhamad Annas Mohamad Anuar berkata pihaknya mempunyai perancangan kerjasama bersama Permodahan Kedah Berhad (PKB) bagi membangunkan lombong bijih besi di tapak berkenaan.

Katanya, syarikat telah mengeluarkan sejumlah modal bagi mengawal tapak berkenaan termasuk melakukan kerja kajian di kawasan berkenaan sebelum membentangkan potensi kegiatan perlombongan bijih besi yang mampu menjana pendapatan kepada negeri.

“Apa yang dikesalkan selepas pembentangan pada Mac 2021, SSI Kedah tidak lagi melayan permohonan kami untuk mendapatkan lesen melombong dan membiarkan status projek ini tergantung, malah dalam pertemuan bersama Pengurus Besar SSI Kedah, kami diminta menyerahkan kembali tanah.”

Dakwa Muhamad Annas, pihaknya diberikan hak pajakan 45 tahun ke atas tapak berkenaan.

Sementara itu, SUK Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali berkata pihaknya mengesahkan menerima notis berkaitan tuntutan saman berkenaan.

Katanya, kes berkenaan adalah perjanjian lama yang dibuat pentadbiran terdahulu dan pihaknya akan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi menentukan sebarang tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini