comscore
Tumpuan :
Nasional

Perbandingan pencapaian dengan negara jiran lain, mampu bawa perubahan baik buat Malaysia

FOTO: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Perbandingan pencapaian dengan negara jiran lain, mampu bawa perubahan yang lebih baik buat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara kini tidak lagi berada dalam ruang selesa, meskipun negara telah memperoleh pelaburan asing bernilai bilion ringgit.

“Dalam mesyuarat jemaah menteri saya kata, baik kita telah maju, kita telah adakan anjakan, ya saya dengar ada kemajuan yang membanggakan.

“Tapi saya kata, boleh tidak kita bandingkan kekuatan kita, pencapaian kita ketimbang Singapura, Indonesia (dan) Vietnam.

“Ketiga-tiga negara ini nampaknya bersaing hebat dengan Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI)2024 di sini, hari ini.

Jumaat lalu, negara dimaklumkan bahawa pemilik TikTok ByteDance merancang untuk melabur kira-kira RM10 bilion dalam kecerdasan buatan (AI) dan menjadikan Malaysia sebagai hab AI serantau.

Pada bulan Mei, dilaporkan gergasi teknologi Google akan melabur RM9.4 bilion untuk menubuhkan pusat data pertamanya dan wilayah Google Cloud di Malaysia.

Pada April, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Corp., Satya Nadella mengumumkan rancangan untuk melabur RM10.5 bilion di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Justeru, Datuk Seri Anwar berkata, negara tidak boleh berpuas hati dengan pengumuman berkenaan, lantas mempersoalkan bilakah ia akan direalisasikan dan adakah Malaysia akan lebih pantas daripada negara jiran yang lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini