comscore
Tumpuan :
Nasional

Perbelanjaan pembangunan negara mesti diteruskan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) perlu meneruskan agenda pemulihan ekonomi negara, dengan menumpukan kepada perbelanjaan pembangunan.Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata perbelanjaan pembangunan adalah elemen penting untuk diteruskan.Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan baharu juga perlu melaksanakan jihad ke atas ketirisan, pembaziran dan rasuah supaya hasil kerajaan yang diperolehi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan.Dalam masa sama, katanya belum ada keperluan untuk menambah hasil melalui cukai baharu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau kenaikan kadar cukai sedia ada.

“Kerajaan juga perlu menggandakan usaha dalam menangani isu sara hidup rakyat, mengawal ketirisan, pembaziran dan rasuah membabitkan perbelanjaan awam.”Langkah strategi yang berkesan juga perlu difikirkan dalam memanfaatkan rafitikasi ke atas dua perjanjian bebas antarabangsa terbesar di dunia iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Selain itu, meneruskan komitmen dalam memberi sokongan serta galakan untuk ekonomi baharu seperti ekonomi digital dan pembangunan infrastruktur 5G.”Pelaburan swasta harus digalakkan termasuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara terutama yang membabitkan pelaburan teknologi terkini serta pemindahan teknologi itu,” katanya.Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berpandangan sekiranya pembangunan diperlahankan ia akan memberikan kesan buruk kepada aliran ekonomi negara.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia baru sahaja melalui proses pemulihan dan jika perbelanjaan ditahan, ia akan menguncupkan semula ekonomi negara.”Mengembangkan ekonomi bukan seperti menekan suis lampu dan ia akan kembali naik, tetapi memerlukan pusingan dan masa untuk berkembang.”Sewaktu pandemik melanda, negara mengalami penguncupan ekonomi memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi, sosial dan budaya,” katanya.

Ketika ditanya adakah kerajaan mampu menampung hutang lagi jika diperlukan kelak seperti berlakunya krisis pandemik COVID-19, beliau berkata, hutang negara masih di bawah 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang diluluskan oleh Parlimen pada Oktober 2021.”Kapasiti untuk membuat dan membayar hutang negara masih bagus,” katanya.

Lebih 21 juta pengundi berdaftar dijangka mengundi pada PRU15 bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu yang membabitkan 222 kerusi Dewan Rakyat.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini