comscore
Tumpuan :
Nasional

Perbincangan mengenai pembinaan Pusat Kanser Sarawak di fasa akhir – Dr Sim

KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak kini di peringkat akhir perbincangan bagi perlaksanaan projek pembinaan sebuah pusat kanser di negeri berkenaan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, perbincangan ketika ini menjurus kepada kaedah atau pilihan pembiayaan kewangan serta perkara mengenai pentadbiran dan penyediaan tenaga pakar untuk pusat berkenaan.

Sarawak katanya bersedia untuk bekerjasama serta membantu kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan berkenaan jika diperlukan untuk berbuat demikian.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion  bagi tujuan itu bagi memastikan usaha untuk merealisasikan pembinaan pusat kanser itu di negeri ini menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri  Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Bagaimanapun menurutnya sebarang keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas ini bergantung kepada keputusan Perdana Menteri bagaimana hendak menyediakan model pembiayaan  dan itu pastinya tidak begitu sukar.

“Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua pihak mengakui keperluan pusat kanser di Sarawak adalah penting dan sebelum ini terdapat kekangan kewangan, sekarang kewangan itu sudah tersedia cuma yang tinggal adalah kertas kerja berkaitan dan itu pastinya tidak terlalu sukar,” katanya.

Menurut Dr.Sim, pembinaan pusat terbabit penting dalam usaha menyediakan rawatan terbaik bagi pesakit kanser di Sarawak yang sebelum ini terpaksa ke ibu negara bagi mendapatkan rawatan lanjut penyakit berkenaan.

Di Sarawak, terdapat tiga jenis kanser yang paling kerap dikesan membabitkan kanser saluran pernafasan termasuk paru-paru dengan sebanyak 14.3 peratus, kanser nasofarinks atau pangkal hidung,13.9 peratus dan kanser kolorektal (12.7 peratus).

Manakala bagi kaum wanita pula, kanser tertinggi adalah kanser payudara sebanyak 20.9 peratus, diikuti kanser pangkal rahim sejumlah 12.6 peratus dan kanser kolorektal sebanyak 9.5 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini