comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Percepat rundingan laksana sistem bayaran tol terbuka – Nanta

 

AYER KEROH:Bagi memastikan sistem bayaran tol terbuka dilaksanakan segera, kerajaan akan mempercepatkan rundingan bersama pihak berkepentingan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata langkah itu memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk melunaskan bayaran tol tanpa bergantung kepada penggunaan sistem sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) melancarkan Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron bagi kemudahan pemilik kenderaan elektrik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Ayer Keroh. – FOTO : NSTP

Beliau berkata, rundingan bersama Kementerian Kewangan yang turut membabitkan syarikat konsesi serta pemegang taruh pemain industri lebuh raya bertol di seluruh negara itu adalah sebagai alternatif sebelum pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya (MLFF) menjelang 2025.

Kita akan buat, kita perlu menguji sistem itu dahulu menerusi projek perintis. Saya tidak mahu maklumkan sekarang, tapi akan ada projek perintis untuk kita pastikan kaedah yang terbaik.

“(Pelaksanaan) dalam masa sebelum kita laksanakannya pada 2025 tapi saya minta diawalkan, kita akan buat secepat mungkin,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan kemudahan pengecasan berkelajuan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron untuk kenderaan elektrik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh Arah Utara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad merangkap Pengarah Urusan UEM, Datuk Izani Ghani dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, cadangan pelaksanaan MLFF dijangka direalisasikan lebih awal berbanding jangkaan 2025 termasuk melihat contoh beberapa negara lain yang sudah merealisasikan sistem berkenaan.

Memang sekarang ini perancangan kita menjurus kepada MLFF dan ia perlu dirancang sebaik-baiknya, meskipun kita menetapkan tempoh masa pada 2025 namun kita akan buat lebih awal dari itu.

“Banyak perkara dari segi teknikal dan undang-undang kita kena teliti selain membuat kajian terhadap sistem yang digunakan di beberapa negara lain sebelum melaksanakannya dengan lebih baik di negara ini,” katanya.-Berita Harian

Loading...
Terkini