comscore
Tumpuan :
Nasional

Percutian bertukar tragedi, pelancong China lemas di Pulau Sapi

 

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Percutian pasangan warga China ke negeri ini berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas di pantai Pulau Sapi di sini, hari ini.

Mangsa, Zhou Chunguang, 51, ditemukan lemas oleh pelancong lain ketika sedang menjalankan aktiviti mandi di pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan isterinya masuk ke Pulau Sapi menggunakan bot pelancongan kira-kira jam 10 pagi hari ini.

“Mangsa kemudian mandi bersendirian di pantai berkenaan, manakala isteri mangsa berada di pantai kira-kira jam 12.45 tengah hari.

“Kira-kira 30 minit kemudian, mangsa dijumpai lemas oleh dua orang pelancong lain sebelum mereka meminta bantuan kepada pengawal pantai di Pulau Sapi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa naik ke pantai sebelum diberi bantuan pernafasan (CPR) selama lima minit.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jeselton Point menggunakan bot pelancongan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu doktor bertugas di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 1.55 petang ketika berada di Jeselton Point,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, mangsa dibawa ke HQE 1 untuk tindakan lanjut dan kes diklasifkasi sebagai Kes Mati Mengejut (SDR).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini