comscore
Tumpuan :
Nasional

Perdana Menteri bukti kesungguhan hargai sumbangan penjawat awam – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu di Pejabat Parlimen Jelebu.

JELEBU: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus Disember nanti membuktikan kesungguhan beliau dalam menghargai sumbangan pekerja sektor awam kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri itu juga pasti mengejutkan penjawat awam kerana ia merupakan antara kenaikan terbesar dalam sejarah pentadbiran awam negara.

“Ia penantian yang panjang.. Perdana Menteri telah mengambil keputusan mengejutkan, kita tahu bahawa kedudukan kewangan kurang memuaskan setakat ini berikutan faktor ekonomi, tetapi Perdana Menteri sangat komited untuk menghargai penjawat awam keseluruhannya,” katanya kepada pemberita di Perkarangan Kompleks UMNO Jelebu Simpang Pertang.

Terdahulu beliau menghadiri majlis sambutan Hari Raya Parlimen Jelebu yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Seiring dengan pengumuman itu, Ahmad Zahid berkata beliau berharap penjawat awam tentunya dapat melipatgandakan produktiviti masing-masing dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat dengan lebih efisien.

Sementara itu beliau berkata pengumuman itu juga bertepatan dengan sambutan Hari Pekerja hari ini dan bukan ‘gula-gula’ susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang sedang diadakan ketika ini.

“Hari ini adalah Hari Pekerja,…apa jua dilakukan kerajaan pasti ada pelbagai interpretasi… tetapi kerajaan bertanggungjawab memenuhi apa yang dijanjikan sebelum ini kepada penjawat awam,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara, yang melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini