comscore
Tumpuan :
Nasional

Pereka fesyen tempatan perlu manfaatkan teknologi digital – TKSU KPDNHEP

Pengasas Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA), Bon Zainal Harun (kanan) dan Pensyarah Kanan Fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid pada forum sempena MY Gaya Month yang berlangsung sehingga 10 November ini di sebuah pusat beli-belah.

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen tempatan perlu lebih kreatif dan proaktif memanfaatkan teknologi digital dalam membina jenama serta mengetengahkan produk mereka, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datin Roszanina Wahab.

Beliau berkata pereka fesyen tempatan sewajarnya tidak hanya bergantung kepada kerajaan dan organisasi lain dalam usaha meluaskan pasaran produk mereka agar lebih dikenali dan diterima di dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Sejajar dengan perkembangan teknologi dan dunia digital sekarang ini, usahawan perlu menggunakan sebaik mungkin peluang dan ruang yang ada dalam mengetengahkan produk dan jenama masing-masing.

“Ambil peluang ini untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk dan jenama masing-masing melalui platform digital seperti ‘market place’ dan media sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kempen MY Gaya Month 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) Rasta Rashid, Pengasas MBDA Bon Zainal Harun dan Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsuddin.

Selain itu, Roszanina berkata masyarakat negara ini perlu terus memberi sokongan kepada industri buatan Malaysia dengan mengutamakan pembelian produk daripada pereka tempatan.

Mengenai kempen tersebut, beliau berkata MY Gaya Month yang dianjurkan MBDA sejak 6 Okt lepas sehingga hari ini, berjaya mengumpul hasil jualan RM500,000 melebihi sasaran awal RM300,000.

Kempen edisi kedua tersebut bertujuan mempromosi dan menyokong produk fesyen tempatan sempena Kempen Beli Barangan Malaysia KPDNHEP yang dilancarkan semula itu, turut mengiktiraf tujuh pereka tempatan yang paling menyerlah sepanjang kempen berlangsung.

Industri fesyen Malaysia dijangka menjana pendapatan sekitar RM13.72 bilion pada tahun ini.

Loading...
Terkini