comscore
Tumpuan :
Nasional

Pergerakan angin dari Laut Andaman faktor bencana alam di utara tanah air

FOTO: MET Malaysia

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Bencana alam yang melanda beberapa negeri di utara tanah air disebabkan pergerakan angin dari Laut Andaman di Lautan Hindi ke kawasan tekanan rendah yang terletak di sekitar utara Laut China Selatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, berkata keadaan itu telah menyebabkan berlaku pergerakan angin yang kuat dan juga ombak besar ditambah dengan keadaan ‘perigee’.

“(Perigee merupakan) kedudukan bulan hampir dengan bumi dan juga bulan penuh yang menyebabkan ombak besar jadi lebih besar disebabkan oleh air pasang yang lebih besar daripada kebiasaan.

“Bersama angin kencang ini juga, kita dapati pergerakan kelembapan udara yang tinggi menyebabkan berlakunya hujan yang lebat di negeri-negeri utara semenanjung,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Namun jelasnya, METMalaysia telah pun menjangkakan keadaan ini akan berlaku lebih awal lagi selain telah mengeluarkan amaran dan maklumat kepada orang ramai sejak 12 September lalu.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan amaran angin kencang di utara Selat Melaka itu berkuatkuasa 15 September sehingga 21 September.

“Maknanya ada beberapa hari lagi kita jangkakan situasi ombak besar dan angin kencang akan melanda di utara semenanjung.

“Manakala untuk keadaan cuaca, kita jangkakan keadaan sudah semakin reda, mungkin selepas ini hanya angin dan ombak besar sehingga 21 September ini,” katanya.

Tambahnya, tekanan udara yang rendah di utara menyebabkan pergerakan angin dari selatan ke utara menjadi lebih laju.

Pergerakan angin itu menjadi lebih kuat apabila tekanan udara itu lebih rendah berbanding kebiasaannya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian banjir yang berlaku, beliau berkata sungai-sungai tidak dapat mengalirkan takungan air sedia ada ditambah pula dengan air hujan ke dalam laut memandangkan air pasang besar sedang berlaku di laut ketika ini.

“(Aliran) air kita memang daripada hulu ke kuala-kuala di kawasan sungai dan laut.

“Jadi disebabkan keadaan paras laut itu sudah tinggi ditambah dengan ombak besar, ia (air sungai) tidak dapat keluar.

“Bila hujan sedikit sahaja di hulu menyebabkan kawasan (sungai menjadi) dalam, jadi air tak dapat keluar dan menyebabkan banjir lah, itu yg berlaku pada keadaan sekarang ni,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, berdasarkan amaran yang dikeluarkan METMalaysia sebelum ini, pihaknya tidak menjangkakan akan berlaku hujan yang lebat berbanding beberapa hari kebelakangan ini selepas esok.

Sebelum ini METMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkuatkuasa sehingga Khamis ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini