comscore
Tumpuan :
Nasional

Pergerakan rentas negeri tidak lagi dibenarkan

KUALA LUMPUR: Tiada lagi kebenaran pergerakan rentas negeri bagi mengelakkan penyebaran COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat kerajaan hari ini dan mana-mana individu yang ingkar akan dikenakan tindakan.

Jelas beliau, kenderaan yang cuba merentas negeri bukan hanya akan diarah berpatah balik tetapi juga turut dikenakan kompaun serta-merta di sekatan jalan raya.

“Justeru, orang ramai tidak perlulah lagi ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran.

“Kita semua sedia maklum, semalam seorang perempuan positif Covid-19 akibat daripada rentas negeri.

“Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam soal rentas negeri ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya mendapati masih ada lagi yang berdegil yang cuba melakukan pergerakan merentas negeri.

Semalam sahaja, beliau berkata sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri dan dinasihatkan polis berpatah balik.

“Minat mereka yang ingin balik ke kampung sempena Aidilfitri ini masih tidak berubah walaupun setiap hari kita mengeluarkan nasihat.

“Semalam lebih 1,300 orang ramai beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang untuk memohon kebenaran polis balik ke kampung.

“Mereka sanggup beratur di tengah panas dengan alasan untuk mencuba nasib. Jadi lepas ini tidak perlu susah payah beratur di balai polis,” katanya.

Loading...
Terkini