comscore
Tumpuan :
Nasional

Perhilitan berjaya tangkap seekor gajah liar

TANAH MERAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang merosakkan tanaman dan harta benda penduduk di Kampung Tal Tujuh, Jerangau, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan mengenai gangguan gajah liar berkenaan sebelum seramai enam orang anggota dari Jabatan Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan menjalankan pemantauan dan tangkapan.

Katanya, dengan tangkapan mamalia itu ia sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan berkenaan seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik gajah.

“Operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang yang pada masa sama turut membabitkan kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan.

“Bagaimanapun dengan tangkapan dan pemindahan gajah liar ini bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku.

“Dipercayai anggaran populasi gajah liar yang berada di HSK ini adalah lebih daripada 20 ekor,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan berkenaan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya mengambil langkah-langkah mitigasi.

“Antaranya memasang lampu LED biru di laluan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun dan sentiasa membersihkan kebun serta tidak dibiarkan bersemak samun.

“Selain itu, pekebun-pekebun juga dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah atau Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun bagi mengurangkan gangguan konflik yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan SPEG adalah salah satu kaedah paling berkesan bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun.

“Walau bagaimanapun, pembinaan SPEG ini hendaklah mengikut spesifikasi yang sepatutnya bagi memastikan ianya berfungsi dengan baik,” katanya.

Katanya, orang ramai juga adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini