HULU SELANGOR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor memasang perangkap harimau belang di sebuah ladang di Hulu Bernam, di sini, susulan penemuan kesan tapak kaki haiwan liar itu, 25 November lalu.
Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, selain perangkap pihaknya juga melaksanakan operasi kawalan secara berkala serta pemasangan perangkap kamera di sekitar kawasan ladang terbabit.
Beliau berkata, terdahulu pekerja ladang menemukan tapak kaki harimau itu kira-kira jam 9 pagi ketika sedang mengutip kelapa.
“Siasatan mendapati ladang dengan keluasan kira-kira 40 hektar itu ditanam dengan tanaman kelapa, jambu, dan kelapa sawit.
“Terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Gading, ladang itu juga mempunyai banyak kesan tapak babi hutan yang berkemungkinan menjadi faktor tarikan utama kehadiran harimau di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Wan Mohd Adib berkata, siasatan dijalankan PERHILITAN Daerah Hulu Selangor dengan kerjasama Unit Konservasi HarimauMalaya (UKHM) Selangor pada 26 November lalu.
“Pemeriksaan awal mengesahkan kesan tapak terbabit adalah tapak kaki harimau belang.
“Orang ramai yang terserempak dengan hidupan liar supaya berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendirian. Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my ,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.