BESUT: Beruang matahari seberat 120 kilogram (kg) ditangkap di Kampung Kubang Ikan di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.
Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong berkata, berdasarkan aduan, haiwan berkenaan sebelum itu dilihat berkeliaran di sekitar Kampung Gong Badang, di sini, pada awal pagi.
Katanya, hasil maklumat penduduk kampung serta pemantauan daripada anggota PERHILITAN Besut, beruang berkenaan kemudian dikesan di Kampung Kubang Ikan.
“Pasukan PERHILITAN menangkap beruang jantan itu dengan pelali sebelum ia dikurung di dalam sangkar untuk dilepaskan ke habitat semula jadi pada hari sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, beruang berkenaan dipercayai datang dari hutan simpan berhampiran.
Sementara itu, penduduk Kampung Kubang Ikan, Muhammad Amimutmin Safie, 26, berkata, dia terkejut melihat beruang itu di kawasan sawah padi ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya bagi mengait buah kelapa sawit, kira-kira jam 9 pagi.
“Kebetulan pada awal pagi ketika singgah di kedai makan, ada penduduk kampung beritahu nampak beruang di sekitar Kampung Gong Badang.
“Disebabkan itu, saya bertindak cepat merakam video beruang berkenaan sudah berkeliaran sekitar Kampung Kubang Ikan untuk dimaklumkan kepada orang kampung supaya lebih berwaspada,” katanya.
Katanya, jarak antara tempat dia berhenti dengan kawasan beruang itu, kira-kira 100 meter.
“Nasib baik ketika itu beruang berkenaan tidak bertindak agresif terhadap penunggang motosikal yang kebetulan lalu berhampiran kawasan itu, sebaliknya terus masuk ke kawasan sawah padi,” katanya.
Amimutmin berkata, sepanjang dia tinggal di kampung berkenaan, ini kali pertama beruang tersesat masuk kampung.
“Kami lega kerana pihak PERHILITAN bertindak cepat memindahkan haiwan itu ke tempat asalnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.