comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Perhilitan Terengganu pantau kemunculan beruang matahari

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

TERENGGANU: Musim kemarau dan kebakaran hutan yang melanda Terengganu turut menjadi ancaman kepada beruang matahari untuk mengekalkan kemandirian spesis berikutan berkurangan sumber makanan di habitatnya.

Beruang matahari gemar memakan buah-buahan, akar-akar kayu, serangga, mamalia kecil dan burung.

Lebih dikenali beruang madu atau nama saintifiknya Helarctos malayanus, ketika ini banyak kes dilaporkan haiwan omnivor itu sesat dan memasuki kawasan penempatan manusia untuk mencari makanan.

Perkara itu turut menyebabkan penduduk berasa tidak selamat.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kes ancaman beruang matahari sehingga penduduk dicederakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, dari tahun 2022 sehingga Mei 2024, 17 ekor beruang matahari berjaya ditangkap dan dilepaskan semula ke habitat asal.

Statistik Tangkapan Beruang Matahari 2022 hinga Mei 2024

2022 – Jumlah aduan 81, tangkap pindah 3 ekor
2023 – Jumlah aduan 173, tangkap pindah 5 ekor
2024 (hingga Mei) – Jumlah aduan 114, tangkap pindah 9 ekor

Kebanyakan kes ancaman beruang matahari berlaku di kawasan pertanian dan beberapa kes di kawasan penempatan atau kampung.

Pada tahun ini sehingga Mei, sebanyak 114 aduan diterima agensi itu dan 9 ekor berjaya ditangkap.

Terbaharu, agensi itu kini sedang mengesan kelibat seekor beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Baru Kerteh, Kemaman.

Menurut penduduk, kehadiran beruang matahari ke kawasan penempatan penduduk dipercayai adalah disebabkan oleh kemusnahan habitat asalnya akibat dari pembinaan projek mega di kawasan hutan berhampiran.

Dakwa penduduk, Azman Manan ketika ditemui berkata, haiwan liar  tersebut sering dilihat berkeliaran di kawasan semak berhampiran kediaman  pada waktu pagi dan waktu petang untuk mencari makanan.

“Memanglah takut, besar pulak tu, budak-budak kawasan ini takut keluar bermain, baru-baru ni beruang keluar kira-kira jam 6 petang”, katanya.

Seorang lagi penduduk, Daziah Abdul Ghapur berkata, dia mula bimbang untuk keluar dari rumah.

“Kalau saya nak ke masjid, waktu petang tidak membimbangkan sangat tetapi bila pulang dari masjid waktu malam amat menakutkan kerana kawasan ini sangat gelap”, ujarnya.

Penduduk berharap agar haiwan liar tersebut dapat ditangkap dengan segera dan agar mereka dapat meneruskan kehidupan yang normal seperti sebelum ini.

Ketika berita ini ditulis, difahamkan pihak Perhilitan sudah memasang perangkap di beberapa tempat di kawasan kampung tersebut.

Beruang matahari dikategorikan sebagai ‘vulnerable’ di dalam IUCN Red List yang bermaksud mempunyai risiko yang tinggi untuk pupus dan populasinya juga semakin berkurangan antara 30 peratus hingga 50 peratus dalam tempoh 30 tahun.

Ancaman terbesar kepada haiwan itu adalah pemburuan haram dan penerokaan hutan secara berleluasa.

Justeru, pihak Perhilitan menggesa orang ramai supaya segera membuat laporan atau aduan sekiranya terserempak dengan haiwan itu.

Turut diingatkan, orang ramai tidak mengambil jalan singkat dengan membunuh haiwan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini