comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Perincian kenaikan gaji penjawat awam diumum sebelum pembentangan Belanjawan 2025

 


Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perincian berhubung kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu itu adalah adil dan memenuhi tuntutan semasa.

“Seperti saya sebut di Parlimen semalam, saya seperti bapa dalam kerajaan ini dan kita lihat umpamanya sudah sekian lama tidak ada satu kenaikan yang bermakna gaji penjawat awam dalam keadaan kita bagi tekanan lebih kuat sekarang, kerja lebih kuat, pemantauan lebih kuat dan penguatkuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) lebih hebat, terjah ke kawasan-kawasan dan jabatan-jabatan.

“Kalau semua perkara itu dan kita harapkan mereka bekerja lebih kuat, sudah berbelas tahun tak ada kajian dan ganjaran yang adil.

“Sebab itu saya semalam di Parlimen apabila ditegur saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam dan insya-Allah saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Kajian semula SSPA dibuat untuk penjawat awam dan kali terakhir kenaikan gaji adalah sekitar 13 peratus yang dibuat pada 2013.

Pada 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam yang menyaksikan kenaikan melebihi 13 peratus dan merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilapor berkata, perincian mengenai kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini