comscore
Tumpuan :
Nasional

Perjanjian Kerjasama Banteras Jenayah Rentas Sempadan Malaysia-China dilanjutkan sehingga 2034

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia dan China bersetuju untuk melanjutkan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan kedua-dua negara berkuat kuasa sehingga 2034.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu dimeterai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-China kali kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5) di Kementerian Keselamatan Awam China.

Mesyuarat itu dipengerusikan beliau bersama Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, semalam.

“Perjanjian ini merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah ke atas alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, JWG Ke-5 adalah mekanisme perbincangan di bawah payungan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia Dengan China yang ditandatangani pada 2012.

Saifuddin ketika ini mengetuai delegasi Kementerian Dalam Negeri dalam lawatan kerja di China bermula Rabu lalu hingga 10 Jun depan.

Selain itu, ujar beliau, kedua-dua negara turut berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN + China + Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi serta sosial, sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN.

Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan bukan hanya kepada kedua-dua negara malah memanfaatkan negara serantau serta global.

“Kedua-dua negara turut menyatakan kesepakatan untuk bersegera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi,” katanya.

Tambah beliau, mesyuarat JWG Ke-5 turut memperaku kerjasama erat sedia ada antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih intensif selaras dengan status hubungan komprehensif dan strategik Malaysia-China.

Ini termasuk perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai.

“Pada akhir Mesyuarat JWG Ke-5, kedua-dua menteri mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan akrab kedua-dua negara dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam di kedua-dua negara, serantau dan global,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Saifuddin, mesyuarat tahunan itu adalah manifestasi hubungan akrab Malaysia dengan China dalam konteks keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, keakraban hubungan Kuala Lumpur dan Beijing mengaspirasikan hasil mesyuarat yang monumental ke arah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam antara kedua-dua negara yang lebih terjamin serta mampu memberikan limpahan kesan positif di peringkat serantau dan dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini