comscore
Tumpuan :
Nasional

Perjanjian Tambahan Malaysia-AALCO tambah baik struktur pentadbiran AIAC 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perjanjian Tambahan di antara Kerajaan Malaysia dan pihak Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO) yang dimeterai serta ditandatangani hari ini akan menambah baik struktur pentadbiran dan pengoperasian Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) (Malaysia).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, penambahbaikan itu bakal mempromosikan Malaysia sebagai tempat penyelesaian timbang tara pilihan utama selaras status AIAC iaitu institusi antarabangsa dan bebas di bawah naungan AALCO.

“Perjanjian Tambahan ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini berkenaan hala tuju dan penambahbaikan struktur pentadbiran dan pengoperasian AIAC (Malaysia) melalui tadbir urus pengurusan yang lebih telus, efisien dan teratur berlandaskan konsep pengasingan bidang kuasa dan setanding dengan institusi timbang tara antarabangsa yang terunggul di persada dunia.

“Ini termasuk menginstitusikan dan mengiktiraf fungsi dan peranan Lembaga Penasihat AIAC sedia ada sebagai Lembaga Pengarah AIAC, pewujudan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC yang akan dilaksanakan secara berfasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Tuan Rumah itu ditandatangani di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung AALCO, Dr Kamalinne Pinitpuvadol.

Mengulas lanjut, BHEUU berkata, inisiatif hala tuju dan penambahbaikan struktur pentadbiran AIAC yang diperkenalkan adalah manifestasi hasrat kerajaan MADANI yang komited untuk mengangkat bidang penyelesaian pertikaian alternatif.

Ia terutama melalui struktur pentadbiran baharu AIAC yang menekankan aspek tata kelola baik dan mekanisme semak dan imbang komprehensif yang diyakini akan terus meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan termasuk dalam kalangan komuniti penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) terhadap sistem perkhidmatan yang ditawarkan AIAC.

Jelasnya, hala tuju baharu itu juga bakal memberi nafas baharu kepada AIAC yang ditubuhkan sejak 1978 untuk terus melangkah maju dan berdaya saing dengan institusi timbang tara antarabangsa terkemuka lain di dunia.

“Sebagai langkah susulan, sebuah ‘roadmap’ jangka panjang merangkumi pendekatan dan strategi khusus bagi AIAC serta pembangunan ADR secara keseluruhannya dengan penglibatan pihak berkepentingan.

“BHEUU JPM juga telah memulakan usaha kajian dan sesi libat urus yang berkaitan dengan pihak yang berkepentingan termasuk Majlis Peguam Malaysia dalam mencadangkan pindaan kepada Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646] sebagai tindakan lanjut kepada pelaksanaan hala tuju dan inisiatif penambahbaikan AIAC,” katanya.

Tambahnya, hala tuju dan penambahbaikan AIAC diyakini akan memastikan AIAC terus cemerlang sebagai hab ADR utama di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, Jemaah Menteri juga bersetuju supaya AIAC terus menduduki dan menggunakan Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur sebagai premis bagi tujuan pengoperasian AIAC selagi mana Perjanjian Tuan Rumah diperbaharui yang membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan ADR di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini