Tumpuan :
Nasional

Perkahwinan masih di fasa ‘bulan madu’, suami tabah jaga isteri autisme

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

PETALING JAYA: Tidak pernah terjangkau dek akal apabila doktor mengesahkan isteri tercinta didiagnos autistik pada usia 29 tahun.

Meskipun usia perkahwinan belum mencecah setahun, bagi Tariq Iman Mohd Fauzi, 29 tahun – ia adalah ujian rumah tangga dan memilih untuk terus setia melayari bahtera bersama pasangannya, Anisya Anis Sariff.

Ujar Tariq, meskipun terdapat pelbagai cabaran dalam menangani isterinya seperti ‘meltdown’ kerana tercetus daripada emosi yang berlebihan, dia tetap menganggap isterinya memberi nilai tambah dan umpama penyeri hidupnya.

“Kita perlu menghadapi pelbagai jenis emosi yang berlebihan, kadangkala menangis tanpa henti atau pun ‘meltdown’.

“Tetapi keceriaan dan kebahagiaan yang dia bawa kepada saya, bagi saya itu pun tidak ternilai dan sangat berharga,” ujarnya.

Katanya meskipun Anisya disahkan sebagai individu autistik dewasa, isterinya tidak pernah menjadikan ia sebagai alasan dan sentiasa berusaha untuk menjadi peneman hidup yang terbaik.

Bagi Anisya – dia memanjatkan kesyukuran kerana suaminya menjadi tulang belakang bahkan Tariq yang membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Sebelum ini saya didiagnos mempunyai ciri-ciri bipolar tetapi saya rasa macam tidak sesuai dengan saya.

“Namun saya tetap meneruskan rawatan sehinggalah 2 tahun lepas saya sudah tiada langsung ciri-ciri sindrom bipolar.

“Apabila pakar psikiatri kata saya menunjukkan ciri-ciri autism, saya menafikan ia sebab bagi saya, autism untuk kanak-kanak.

“Tapi suami saya tak menafikan, dialah orang yang meyakinkan saya bahawa saya mempunyai ciri-ciri itu, cuma sewaktu kecil masih tiada pendedahan mengenai autism jadi mungkin itu penyebab saya didiagnos pada usia 29 tahun,” kata Anisya.

Anisya yang bertugas sebagai jurulatih robotik di Johor berkata impak positif yang dapat dilihat daripada keadaannya adalah dia tidak mengendahkan pandangan orang sekeliling kerana dia tidak mahir untuk membaca bahasa tubuh.

Justeru, Anisya lebih berani untuk mencuba pelbagai perkara.

Bahkan, dia sudah mempunyai 57 piala dalam pertandingan pengucapan awam.

“Salah satu kekurangan saya adalah saya tak boleh baca petunjuk sosial, saya susah nak baca bahasa badan, gerak badan serta emosi muka orang.

“Jadi saya tidak faham sama ada orang suka atau pun tidak, keadaan itu membuatkan saya sangat suka pentas dan membuat persembahan di hadapan orang ramai,” jelasnya.

Pasangan ini berharap agar orang ramai memahami bahawa autisme bukan satu penyakit dan menyeru agar penjaga individu autistik tidak mengasingkan mereka daripada komuniti serta tidak menganggap ia sebagai kekurangan sebaliknya kelebihan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini