comscore
Tumpuan :
Nasional

Perkampungan GISBH di Batu Hampar tutup sejak September lalu

FOTO: NSTP

BERUAS: Perkampungan GISB Holdings (GISBH) di Kampung Batu Hampar Dalam, di sini sudah ditutup sejak September lalu.

Tinjauan BH di lokasi hari ini mendapati laluan masuk ke kawasan perkampungan berkenaan dipasang garisan kuning polis sepanjang kira-kira 50 meter.

Selain itu, turut ditemui memo rasmi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertarikh 27 September lalu di papan tanda utama perkampungan itu yang mengarahkan penutupan operasi maahad kerana didapati melanggar Enakmen Kawalan-kawalan Sekolah Agama Islam 1996, Bahagian III Pendaftaran Sekolah-sekolah Subseksyen 5(1) susulan belum berdaftar dengan JAIPk.

Selain maahad, perkampungan berkeluasan 4.8 hektar itu turut memuatkan kedai runcit, kedai makan, pejabat, beberapa rumah kediaman kakitangan, tasik kecil dan kawasan peliharaan haiwan seperti bangsal kuda dan sangkar arnab.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Mohd Syarqawi Abu Hassan, 29, mendakwa penghuni perkampungan itu mengosongkan premis sejak isu GISBH mula dilaporkan, bulan lalu.

FOTO: NSTP

“Ada 70 pelajar dan kakitangan maahad asalnya duduk di sini sejak lebih 10 tahun lalu.

“Mereka selalu menjemput orang kampung untuk apa-apa program.

“Sejak topik berkaitan GISBH terbongkar, mereka kosongkan premis termasuk haiwan peliharaan pun sudah tiada,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Ummu Atiyah, anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad akan menunjukkan lokasi dia didakwa dikurung kira-kira sebulan di perkampungan GISBH di Batu Hampar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini