comscore
Tumpuan :
Nasional

Perkasakan Mahkamah Syariah sesuai kedudukan agama Islam negeri – Sultan Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badslishah bertitah mahu penekanan diberikan kepada agenda pemerksaaan insitusi Mahkamah Syariah, selaras peranannya sebagai obor keadilan agama Islam yang merupakan agama rasmi negeri.

Untuk itu, penubuhan Mahkamah Syariah titah baginda, hendaklah diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan juga perlu menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarki Mahkamah Syariah untuk memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat serta penambahbaik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan sistem diguna pakai di Mahkamah Sivil.

“Beta berharap usaha ini dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di Negeri Kedah,” titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Sallehuddin bertitah supaya kerajaan negeri Kedah menggerakkan agenda penambahan hasil negeri dengan menyeluruh dan lebih berkesan menerusi perancangan fiskal dan kewangan yang lebih tersusun.

Usaha ini titahnya, penting dalam memastikan kerajaan negeri mempunyai kekuatan fiskal dalam melaksanakan agenda KEDAH 2035.

“Ini adalah supaya negeri mempunyai ruang yang lebih untuk mencatur sendiri arah pembangunan negeri. Hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran hasil RM1 bilion menjelang tahun 2028 adalah satu langkah yang tepat.

“Selain daripada pentadbiran tanah, Kerajaan Negeri harus memperkasakan institusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai ejen pembangunan dan penyumbang hasil negeri. Tidak seperti pentadbiran tanah yang dibatasi undang-undang, melalui perniagaan dan pasaran ekonomi yang bebas, GLC tidak mempunyai sekatan dan had untuk menerokai peluang perniagaan dan menjana keuntungan baharu,” titah baginda.

Baginda turut menasihati kerajaan negeri untuk memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi menerusi peningkatan cadangan projek strategik dan berimpak tinggi, pemerolehan pelaburan, serta pertanian yang berteraskan kepada beras.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini