comscore
Tumpuan :
Nasional

PERKESO lanjutkan tempoh pendaftaran, caruman pekerja hingga 30 Jun

 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (tengah) bersama penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2024 di Shah Alam, hari ini. Foto NSTP

SHAH ALAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja oleh majikan sempena Bulan Pemutihan sehingga 30 Jun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata lanjutan selama 30 hari dilaksanakan berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada majikan serta peningkatan drastik terhadap jumlah pendaftaran dan caruman ketika pelaksanaan Bulan Pemutihan.

“Bagi tempoh dari 15 Mei iaitu pelancaran Bulan Pemutihan sehingga 29 Mei lalu, PERKESO merekodkan lonjakan pendaftaran majikan baharu sebanyak 31.8 peratus atau 7,370 majikan, berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

“Bagi pendaftaran pekerja baharu meliputi warga tempatan dan asing pula, peningkatan 34.1 peratus direkodkan meliputi 126,041 pekerja baharu yang berdaftar untuk tempoh sama.

“PERKESO melaksanakan pelbagai inisiatif seperti hebahan melalui media sosial, media konvensional, media elektronik, hebahan menerusi e-mel kepada majikan berpotensi dan pelbagai lagi dalam usaha meningkatkan kesedaran serta memastikan lebih banyak majikan mendaftar dan mencarum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2024 Peringkat Zon Tengah di Wisma PKPS, di sini hari ini.

Steven pihaknya akan melaksanakan operasi dari masa ke semasa secara berterusan bagi memastikan lebih ramai majikan mencarum untuk pekerjanya.

“Inisiatif pelanjutan Bulan Pemutihan memberi tempoh yang lebih panjang kepada majikan untuk mendaftar pekerja mereka bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), sekali gus mengelakkan dikenakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) selepas tempoh ini tamat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini