Tumpuan :
Nasional

Perkhidmatan saringan sistem reproduktif lelaki diperluas tahun depan – KKM

PUTRAJAYA: Perkhidmatan saringan sistem reproduktif lelaki, yang dimulakan secara berfasa tahun ini, dijadual diperluaskan ke semua klinik kesihatan menjelang 2025.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan bahawa Garis Panduan Pengesanan Awal Masalah Kesihatan Reproduktif Lelaki di Penjagaan Kesihatan Primer telah diterbitkan untuk menangani isu berkaitan masalah sistem reproduktif lelaki di klinik kesihatan.

Penerbitan itu selaras dengan Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan (2019-2023).

“Garis panduan ini diharapkan dapat memperkukuh pengurusan perkhidmatan, khususnya dalam menangani penyakit pembengkakan kelenjar prostat, kanser prostat, dan disfungsi ereksi,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan dikeluarkan sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki Peringkat KKM Tahun 2024, yang dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Sambutan yang bertemakan ‘Peduli Diri, Lelaki Afiat’ itu memfokuskan kepada strategi mempromosikan pembudayaan hidup sihat dan memperkasakan golongan lelaki dalam kawalan kesihatan kendiri.

Menurut KKM, isu kesihatan lelaki secara umumnya kurang diberi penekanan dalam kalangan masyarakat.

Pada 2023, purata jangka hayat lelaki ialah 72.5 tahun berbanding 77.4 tahun bagi wanita dan punca kematian utama dalam kalangan lelaki ialah akibat penyakit kardiovaskular iaitu sebanyak 34.9 peratus, dikuti oleh kanser (13.5 peratus) dan pernyakit paru-paru kronik (4.7 peratus) bagi 2021.

KKM juga melaporkan bahawa lelaki terdedah kepada faktor risiko yang meningkatkan kemungkinan menghidap penyakit kardiovaskular, kanser, dan penyakit paru-paru kronik, seperti merokok.

Sebanyak 35.7 peratus lelaki merokok, iaitu 40 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.

Selain itu, 16.9 peratus lelaki didapati mengambil alkohol, berbanding 6.4 peratus wanita. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini