comscore
Tumpuan :
Nasional

Perkhidmatan tambahan pengangkutan awam sempena Tahun Baru Cina 

Batik Air

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan mengumumkan perkhidmatan tambahan bagi penerbangan, rel dan bas sempena Tahun Baharu Cina bulan depan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, ia membabitkan penerbangan tambahan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak oleh Batik Air dan penambahan trip tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan
Padang Besar.

tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB)

Tambah beliau, pihaknya turut meluluskan pembukaan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk bas tambahan sepanjang musim perayaan itu.

“Sukacita saya ingin umumkan bahawa Batik Air menyahut seruan kerajaan dengan menawarkan penerbangan tambahan pada 6 dan 7 Februari ini.

“Batik Air juga bersetuju menawarkan tambang ekonomi harga tetap pada RM399 untuk laluan sehala Kuala Lumpur ke Sibu dan tambang khas ini terpakai untuk lapan penerbangan laluan berkenaan bagi perjalanan dari 6 hingga 9 Februari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke berkata, inisiatif itu adalah sebagai tambahan kepada tambang tetap oleh AirAsia yang diumumkan minggu lalu dan juga tambahan 20 penerbangan oleh Malaysia Airlines dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan ini.

“Bagi perkhidmatan rel pula, KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) akan menambah empat perkhidmatan ETS perjalanan dari laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral pada 7 hingga 13 Februari ini selain dua ETS tambahan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral pada 7 Februari sehingga 10 Mac ini.

“Dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral adalah tren ekspres yang hanya akan mengambil masa dua jam sehala berbanding masa perjalanan biasa iaitu 2 jam 40 minit dengan keseluruhan tiket ditawarkan adalah sebanyak 29,526 tiket,” katanya.

Mengenai LPS, Loke berkata, permohonan bas tambahan itu akan mula dibuka pada 15 Januari hingga 2 Februari ini.

“Tempoh sah laku LPS adalah pada 7 hingga 18 Februari ini dan kita menjangkakan jumlah (bas tambahan) ini akan lebih tinggi berbanding tahun lalu di mana kita berjaya menambah sejumlah 296 bas.

“Selain itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah mengeluarkan notis peringatan kepada semua pengendali terminal bas untuk menambah kakitangan dan jumlah kaunter bagi mengurus penambahan penumpang pada musim perayaan ini,” katanya.

Loading...
Terkini