comscore
Tumpuan :
Nasional

Perlawanan bola sepak persahabatan diteruskan tanpa Sanusi

NIBONG TEBAL: Perlawanan persahabatan bola sepak yang dicadang antara pasukan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Taman Pekatra, Simpang Ampat di sini hari ini terpaksa dibatalkan.

Mengumumkan perkara itu, Akmal Nasrullah berkata, pembatalan perlawanan itu berikutan tiada kata akhir yang diterima daripada pihak Sanusi.

Bagaimanapun, pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pihaknya akan meneruskan perlawanan terbabit dengan bermain menentang pasukan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin bersama anak muda kawasan itu.

“Ada yang tanya jadi tak game (perlawanan) bola yang dirancang bermain di Taman Pektra. Saya nak cakap sebelum pukul 3 petang tadi (semalam) tak jadi sebab belah sana ‘ding dong, ding dong’ (tiada jawapan).

“Poster dia (Muhammad Sanusi) kata esok (hari ini) main bola cuma sekarang ada dua masalah pertamanya kita tahu perangai dia suka dok kalih, dok ubah syarat dan sebagainya. Sebelum ini dia letakkan syarat, kita kata (syarat) tu tak terpakai sebab dia tak boleh sekat anak muda nak main bersama, kita tak setuju.

“Kemudian dia tarik balik (syarat). Bayangkan takut esok (hari ini), saya takut perangai PN (Perikatan Nasional) ni dia suka kalih, silap-silap dia nak main 15 orang. Silap-silap tiang gol pun dia kalih. Itu kerja mereka,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR merangkap Pengarah Pilihan Raya Perpaduan, Rafizi Ramli; Pengerusi DAP, Pulau Pinang Chow Kon Yeow; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Sebelum ini, Akmal Nasrullah membuat pelawaan berkenaan kepada Sanusi pada Ceramah Perpaduan Ahad lepas, di samping menjemput beliau untuk berbincang mengenai isu air di kawasan Sungai Bakap.

Sanusi kemudiannya menyahut cabaran itu dalam hantaran menerusi Facebook dan meminta Akmal Nasrullah untuk hadir dengan perbelanjaan sendiri bagi menyertai perlawanan tersebut sempena kempen PRK DUN Sungai Bakap tanpa menggunakan perbelanjaan kementerian. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini