comscore
Tumpuan :
Nasional

Perlis, Hulu Perak rekod cuaca panas Tahap 2; kebanyakan kawasan di Semenanjung rekod status Tahap 1

KUALA LUMPUR: Cuaca di Hulu Perak hari ini mula dikategorikan sebagai Tahap 2 atau Gelombang Haba sama seperti yang dialami Perlis sejak beberapa minggu lalu.

Ini menjadikan dua kawasan merekodkan suhu panas Tahap 2 hari ini, selepas cuaca Beaufort di Sabah turun kepada cuaca panas Tahap 1.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kemas kini pada jam 4.40 petang tadi memaklumkan, terdapat 41 kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 atau Berjaga-Jaga.

Kawasan itu termasuk Langkawi, Pokok Sena, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang dan Kota Setar di Kedah; Kuala Kangsar di Perak; dan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.

Selain itu katanya, daerah Jerantut, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang; ibu kota Kuala Lumpur; Putrajaya; Sepang di Selangor; Jempol, Jelebu, Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan Tampin di Negeri Sembilan; Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin di Melaka; selain Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Johor Bharu dan Segamat di Johor.

Di Sarawak, kawasan yang merekodkan cuaca tahap satu ialah daerah Telang Usan dan Limbang manakala Sabah pula membabitkan daerah Beaufort dan Kota Belud.

Status suhu panas Tahap 1 atau Berjaga-Jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Manakala cuaca panas Tahap 2 merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, boleh rujuk kepada https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini