KANGAR: Kerajaan negeri Perlis mengisytiharkan bahawa 1 Januari esok adalah sebagai cuti umum di negeri berkenaan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, cuti umum berkenaan dilaksanakan setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Kerajaan Negeri Perlis dengan ini berbesar hati mengisytiharkan bahawa esok, Rabu bersamaan 1 Januari 2025 bersamaan 1 Rejab 1446H adalah sebagai Hari Cuti Peristiwa bersempena Sambutan Tahun Baru 2025 peringkat Negeri Perlis dan tarikh 1 Rejab 1446H yang penuh berkah.
“Pemberian cuti peristiwa ini adalah satu bentuk penghargaan buat seluruh penjawat awam dan rakyat Negeri Perlis yang menjayakan Karnival Sambutan Tahun Baru 2025 peringkat Negeri Perlis yang diadakan pada malam ini, 31 Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, pihaknya mengharapkan dengan pengumuman berkenaan maka ia dapat memudahkan segala urusan semua rakyat untuk hadir menjayakan karnival ini dan mengatur segala perancangan sebaiknya.
“Pengisytiharaan cuti ini adalah selaras dengan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.