comscore
Tumpuan :
Nasional

Perlu hadapi 2 lagi pembedahan

FOTO kanan, keadaan Mohd Nur Azmi ketika terlantar di hospital. Foto kiri Mohd Nur Azmi ketika sihat dan boleh bekerja.

BACHOK: Sebelum ini, Mohd Nur Azmi Jaafar menyara keluarga dengan bekerja sebagai pemandu lori namun selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada 24 Februari lalu, dia hilang upaya untuk bergerak akibat patah kaki.

Lebih mendukacitakan, tulang kakinya turut terkena jangkitan kuman dan kini menunggu masa untuk menjalani pembedahan kali kedua.

Keadaan itu menyebabkan Mohd Nur Azmi, 35, tidak dapat bekerja, sekali gus hilang punca pendapatan bagi menyara isteri dan lima anak yang tinggal berasingan iaitu di rumah keluarga mentuanya dekat Kuala Krai, Kelantan.

Muhd Nur Azmi yang menetap di Kampung Cherang Hangus, berkata, apa yang berlaku itu bukan kemahuannya namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Selain kaki, kemalangan menyebabkan kecederaan pada paha dan tulang rusuk. Saya sudah menjalani pembedahan dan dijangka dua lagi sesi (pembedahan) selepas ini,” katanya.

Menurut Mohd Nur Azmi, dia masih mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan kaki di hospital.

“Sebelum ini (pemeriksaan kesihatan) ia dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bharu, tetapi kini di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Menurut doktor, saya dijangka sembuh dalam tempoh kira-kira 10 bulan selepas pembedahan akan datang,” katanya.

Buat masa ini, Mohd Nur Azmi tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun pusat zakat.

“Saya bergantung kepada bantuan RM1,000 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tetapi tidak tahu sampai bila agensi itu akan menelitinya semula berdasarkan laporan perubatan.

“Isteri bekerja sebagai pembantu salun, saya bersyukur dia sangat memahami dan menerima saya dalam waktu sukar.

“Jika boleh, sekarang juga saya mahu bekerja tetapi siapa yang mahu ambil dalam keadaan begini,” katanya.

Orang ramai berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Public Bank bernombor 6908911613 atas nama Mohd Nur Azmi Jaafar atau menghubunginya di talian 011-1219 1464. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini