comscore
Tumpuan :
Nasional

Perlu undang-undang khusus bagi mengawal selia teknologi AI – Polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Negara memerlukan satu peraturan atau undang-undang khusus bagi mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) berikutan kewujudan pelbagai ancaman akibat salah guna cabang teknologi itu seperti ‘deepfake’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata isu deepfake yang disalahguna sebagai alat jenayah dan memanipulasi konten digital untuk tujuan jahat sudah menjadi isu global dan semua pihak kini sedang berusaha mencari kaedah terbaik menangani isu itu.

Katanya, kecanggihan teknologi AI yang semakin pesat mutakhir ini melahirkan media sintetik seperti deepfake dan perkara itu jelas mengundang masalah apabila ia disalahguna untuk tujuan jahat.

“Sememangnya ada keperluan keperluan penggubalan undang-undang khusus untuk mengawal selia teknologi AI kerana undang-undang sedia ada tidak memadai.

“Dalam menangani landskap baharu terutamanya era AI, sudah tentu undang-undang sedia ada tidak memadai. Kesatuan Eropah (EU), umpamanya, telahpun ada undang-undang khusus untuk AI.

“Jika tiada undang-undang khusus mengenai AI, kita khuatir penguatkuasaan akan menjadi tidak cekap dan berkesan dalam menghadapi cabaran AI ini.

“Beberapa agensi yang bertanggungjawab dalam kerajaan sedang melihat perkara ini dengan serius,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan segera oleh seorang ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada kerajaan untuk meminda akta sedia ada atau menggubal undang-undang kawal selia teknologi AI.

Saranan itu dibuat Derek Fernandez, yang melihat penggunaan imej palsu dijana manipulasi daripada teknologi AI menerusi kaedah deepfake boleh mencemarkan imej seseorang dan menghasut atau menyemarakkan kebencian berkait isu agama, kaum serta Raja (3R).

Untuk rekod, Parlimen Kesatuan Eropah pada 13 Mac lalu meluluskan satu set peraturan penting pertama di dunia untuk mengawal selia AI.Peraturan itu dijangka dikuatkuasakan pada akhir Mei ini, selepas lulus semakan terakhir dan mendapat sokongan daripada Majlis Eropah.

Sebelum ini, timbul kebimbangan dalam kalangan negara ahli EU tentang salah guna deepfake menjelang pilihan raya penting beberapa negara EU serentak tahun ini.

Mengulas lanjut, teknik deepfake kini menurut Ramli menjadi ancaman, terutamanya membabitkan hal ehwal politik negara, perbankan dan industri hiburan.

“Sebagai contoh, dalam isu deepfake paling menggemparkan membabitkan artis Amerika Syarikat, Taylor Swift baru-baru ini.

“Pada ketika juga, kebanyakan negara di dunia sedang menghadapi pilihan raya umum, deepfake yang membabitkan ahli politik juga semakin rencam,” katanya.

Untuk rekod, deepfake sebagai contoh digunakan untuk memanipulasi kandungan video dan audio individu sebenar untuk mencipta kandungan menampilkan individu terbabit berkata atau melakukan perkara yang tidak pernah mereka lakukan.

Pemalsuan deepfake turut dilaporkan berlaku di negara jiran membabitkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong serta ahli politik terkemuka negara itu yang lain.

Deepfake secara salah ini boleh dijadikan sebagai senjata untuk pelbagai tujuan, termasuk menyebarkan maklumat palsu, merosakkan reputasi dan mempengaruhi pendapat umum.

Ramli berkata pihaknya ada menerima beberapa laporan berkait isu salah guna deepfake dengan kes terbaharu membabitkan kes penipuan tawaran pelaburan yang menyalahgunakan suara individu tertentu.

“Kita jangkakan mungkin akan ada lagi laporan serupa membabitkan personaliti tertentu. Sekiranya ada laporan, kita akan siasat.

“Sekiranya laporan (kes) itu memerlukan kepakaran luar, kita akan cuba dapatkan bantuan pihak yang ada kepakaran.

“Memang diakui kepakaran forensik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mana memang sangat diperlukan dalam konteks siasatan di masa mendatang.

“Justeru, kita sedang mempertingkatkan pengetahuan pegawai kita dari segi pengetahuan undang-undang, perkembangan jenayah global melalui seminar latihan dan sebagainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini