comscore
Tumpuan :
Nasional

Permaisuri Agong tersentuh dengar kisah pelajar Palestin

GOMBAK : Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah siang tadi berkenan mercemar duli dan meluangkan masa bertemu 22 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM Gombak yang berasal dari Palestin.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM berkenan meluangkan masa kira-kira 45 minit bagi mendengar suara hati kumpulan mahasiswa itu mengenai pergolakan yang sedang berlaku di tanah air mereka.

Dengan wajah sedih dan simpati, Tunku Azizah mengakui memahami apa yang dirasai pelajar Palestin itu.

Selain mengajak hadirin berdoa, Seri Paduka turut berharap tindakan segera dapat diambil pihak tertentu bagi menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Baginda turut menerima surat permintaan yang merupakan suara hati komuniti Palestin UIAM yang ingin disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama pada majlis pertemuan itu rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan barisan jawatankuasa pengurusan universiti.

Turut dilancarkan,Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Tabung bantuan itu mula digerakkan awal Oktober lalu dan pelancarannya hari ini sebagai salah satu solidariti keprihatinan warga UIAM atas apa yang sedang berlaku di Palestin.

Sehingga kini, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM60,000.

UIAM mempunyai 43 pelajar Palestin yang menyambung pengajian dalam pelbagai bidang dengan 30 daripadanya di peringkat doktor falsafah dan ijazah sarjana, manakala selebihnya ijazah sarjana muda.

Loading...
Terkini