Tumpuan :
Nasional

Permohonan cerai Farid, Diana didengar semula 2 disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, mengesahkan status pasangan pelakon, Farid Kamil dan Diana Danielle sebagai suami isteri selepas melalui prosiding permohonan pengesahan rujuk, hari ini.

Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin memutuskan demikian selepas perkara itu disahkan kedua-dua belah pihak pada prosiding, pagi ini.

Peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir, berkata mahkamah sudah mendengar permohonan rujuk dengan hakim berpuas hati dengan permohonan itu berikutan tiada bantahan daripada defendan.

“Rujuk sudah berlaku dan mahkamah sudah beri perintah bahawa kedua pihak sudah kembali sebagai suami isteri dari tarikh rujuk (31 Ogos tahun lalu).

“Selepas ini, mahkamah arahkan untuk mendapatkan perakuan atau sijil rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Kemudian sijil itu perlu dibawa ke mahkamah pada 2 Disember depan untuk diteruskan dengan tuntutan cerai difailkan anak guam saya.

“Mahkamah boleh keluarkan perintah rujuk cepat. Jadi, dengan perintah itu kita akan bawa ke JAWI untuk mendapatkan perakuan rujuk,” katanya ditemui selepas prosiding permohonan pengesahan rujuk di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Akberdin berkata, pengakuan sijil rujuk perlu dibawa pada prosiding permohonan perceraian pada 2 Disember depan.

Malah, katanya, prosiding rujuk sudah selesai sepenuhnya dan tiada perkara berbangkit berhubung perkara itu.

“Permohonan pertama sudah selesai dan mahkamah sudah bagi perintah untuk rujuk. Jadi, sekarang ini kita akan datang ke ke sini semula pada 2 Disember untuk permohonan kedua iaitu cerai.

“Rujuk sudah selesai, jadi tiada apa-apa lagi berhubung permohonan rujuk selepas ini dan akan datang permohonan cerai. Status mereka masih sebagai suami isteri selepas mahkamah mengesahkan perkara itu.

“Selepas itu kita akan teruskan dengan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
“Selepas ini kita akan selesaikan permohonan perceraian pula. Pendirian defendan akan dimaklumkan kepada hakim pada tarikh akan datang,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan, berkata pihaknya tidak ada sebarang bantahan berhubung permohonan rujuk itu.

“Untuk permohonan pengesahan rujuk itu, kami sebenarnya tiada bantahan apa-apa dengan lafaz rujuk dan kejadian di mana berlakunya rujuk. Pada pagi ini, mahkamah sudah sahkan berlakunya rujuk.

“Cuma, untuk teruskan dengan perceraian itu, dokumen berkaitan dengan rujuk itu perlu ada. Surat perakuan cerai dan surat perakuan rujuk perlu ada dalam fail mahkamah bagi meneruskan permohonan untuk perceraian.

“Pada 2 Disember ini, kalau semua dokumen sudah tersusun, kita teruskan dengan permohonan perceraian,” katanya.

Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.

Permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Loading...
Terkini