comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan kursus TVET JKM untuk lepasan SPM dibuka hingga 9 Jun

Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia menawarkan lebih 50 program dan 112 kursus kepada calon lepasan sekolah.- Foto fail.

PUTRAJAYA: Permohonan mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kelolaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibuka hingga 9 Jun ini.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini memaklumkan JTM menawarkan latihan TVET di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan bagi menghasilkan tenaga kerja mahir dan separa mahir.

“Terdapat 32 Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di seluruh negara yang menawarkan lebih 50 program dan 112 kursus kepada lepasan sekolah.”

“Program latihan TVET yang ditawarkan ini penting untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang diperlukan oleh industri,” menurut KESUMA.

Mereka yang berjaya ditawarkan turut berpeluang memohon pinjaman latihan kemahiran Islamik Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan syarat program latihan kemahiran yang ditawarkan mendapat tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan berdaftar dengan PTPK.

Sementara itu, calon lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga boleh membuat permohonan kursus TVET hingga 11 Jun ini.

Bidang yang ditawarkan di bawah program latihan TVET di ILJTM mengikut standard pekerjaan yang diiktiraf dengan penekanan terhadap komponen praktikal dan pendedahan kepada latihan industri.

Calon lepasan SPM boleh memohon menerusi sistem UPUOnline manakala lepasan SKM Tahap Tiga menerusi portal UP_TVET di pautan https://mohon.tvet.gov.my.

– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini