KUALA LUMPUR: Permohonan maaf secara terbuka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai kes skandal 1MDB yang dibacakan anaknya semalam di Mahkamah Kuala Lumpur membuktikan bekas pemimpin itu berjiwa besar.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, parti itu sentiasa mengikuti rapat perbicaraan membabitkan bekas Presiden UMNO itu.
“UMNO mengikuti rapat perbicaraan kes 1MDB kini dan SRC sebelum ini terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak serta keputusan mahkamah Switzerland terhadap eksekutif PetroSaudi dan terbaharu kenyataan media beliau bertarikh 24 Oktober 2024.
“Kenyataan tersebut membuktikan dengan jelas dan terang bahawa semangat dan jiwa besar Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak sebagai pemimpin utama negara yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa jua keadaan,” jelas kenyataannya hari ini.
Kenyataan beliau jelasnya, membuktikan perasaan ikhlas Najib dizahirkan dan UMNO berharap keadilan dapat ditegakkan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“UMNO yakin bahawa kenyataan tersebut datangnya dari hati nurani yang suci dan tulus, menzahirkan perasaan ikhlas Datuk Seri Mohd Najib.
“UMNO menegaskan kenyataan itu menggariskan bahawa beliau telah diperdayakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba untuk mengambil kesempatan dan meraih keuntungan atas tipu daya tersebut.
“Tindakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang tidak terniat ini sudah tentunya menunjukkan peribadi luhur dan murni serta kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat dan negara,” jelasnya lagi.
Tambah Asyraf Wajdi, UMNO dan seluruh ahlinya memanjatkan doa agar dalang utama yang sebenar dalam kes SRC International dan 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
“UMNO dan seluruh ahlinya memanjatkan doa kehadrat Allah SWT agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan dalang utama yang sebenar di dalam kes SRC dan 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” ujar Setiausaha Agung UMNO itu lagi.
Semalam, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.
Menerusi kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf itu hadir enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.