comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan sijil halal meningkat 4 peratus tahun lalu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Permohonan pensijilan halal Malaysia meningkat empat peratus tahun lalu iaitu sebanyak 15,605 jumlah berbanding 14,977 permohonan pada 2022.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,509 permohonan diluluskan.

“Jumlah produk yang telah dipersijilkan halal pula adalah sebanyak 132,106 produk. Produk yang dipersijilkan halal adalah meliputi skim produk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, bahan gunaan dan peranti perubatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook JAKIM hari ini.

Jelasnya, fi pensijilan halal Malaysia yang berjaya dikutip pada 2023 adalah sebanyak RM11,035,300.

Hakimah berkata, pensijilan halal Malaysia telah mengalami perubahan besar sepanjang tahun lalu susulan pelaksanaan Business Process Reengineering (BPR) bermula Januari tahun sama.

Melalui pelaksanaan BPR, JAKIM telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia 2.0 (ISPHM 2.0) hasil daripada projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia yang dijalankan.

“Berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) 2023 yang dikeluarkan Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

“Perkara ini menunjukkan bahawa industri halal Malaysia semakin berkembang pesat jika dibandingkan dengan negara lain,” katanya.

Mengulas lanjut, tambahnya, pencapaian tersebut juga menyumbang kepada kedudukan Malaysia untuk mengekalkan tempat pertama daripada 81 negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Sehubungan itu, JAKIM akan memastikan pencapaian berkenaan akan dikekalkan pada masa akan datang, selain komited memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik.

Ini termasuk merancang dan merangka pelbagai inisiatif baharu bagi memperkasakan pensijilan halal Malaysia di peringkat global.

Loading...
Terkini