SHAH ALAM: Perobohan Stadium Shah Alam dijangka selesai sepenuhnya menjelang Mei tahun hadapan bagi memberi laluan kepada pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, proses berkenaan berada pada tahap yang baik dengan kadar kemajuan 80 peratus melibatkan kerja-kerja perobohan keseluruhan struktur stadium yang bermula pada awal Julai lalu.
“Proses perobohan berada dalam kemajuan yang sangat baik, bila dah siap roboh nanti pembinaan KSSA akan bermula untuk struktur stadium baharu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Jelajah Belia MADANI Selangor Daerah Petaling di sini hari ini.
Bagaimanapun Najwan berkata, KSSA berkemungkinan tidak sempat untuk disiapkan bagi kegunaan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi 2026 yang akan dihoskan oleh Selangor selepas Sarawak menjadi tuan rumah bagi temasya dwitahun itu.
“Ini bukan kerunsingan bagi kita kerana yang penting adalah penganjuran itu, biasanya orang melihat stadium itu untuk majlis pembukaan tetapi di Selangor, kita ada banyak lagi stadium seperti di Petaling Jaya, Selayang dan kita juga tidak menolak kemungkinan bagi menggunakan Stadium Merdeka untuk majlis perasmian,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor memaklumkan pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029 dengan fasa pertama melibatkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dijangka selesai pada Disember 2026.
Mengulas mengenai Jelajah Belia Madani Selangor Daerah Petaling, beliau berkata program dua hari itu turut menawarkan hampir 2,000 peluang pekerjaan daripada kira-kira 30 syarikat menerusi Karnival Kerjaya yang akan diadakan esok dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kita nak mendekati anak-anak muda, khususnya belia di Selangor dan ini jelajah kedua, dan selepas ini kita akan pergi ke Sabak Bernam dan jelajah ini akan diteruskan ke semua daerah di Selangor sebelum berakhir di Gombak,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.