comscore
Tumpuan :
Nasional

Perpaduan antara negara harus melangkaui sempadan – TPM Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir ke Majlis Perasmian Majlis Ulama Asia 2024 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini. Turut serta ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kanan) dan Setiausaha Liga Muslim Sedunia (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa (kiri).

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Perpaduan antara negara seharusnya melangkaui sempadan dalam meraikan perbezaan pendapat, kaum dan budaya tanpa sebarang diskriminasi.

Timbalan Perdana Meteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesatuan fikiran, hati, dan tindakan adalah penting untuk kestabilan dan ketahanan sesuatu hubungan.

“Prinsip-prinsip perkongsian kita dari al-Quran dan as-Sunnah membimbing kita ke arah mencari keredhaan Allah.

“Ayuh teruskan semangat kerjasama dan dialog melangkaui himpunan ini, merentasi sempadan untuk memupuk keamanan dan saling menghormati, bermula dengan setiap peserta Majlis Ulama Asia 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ulama Asia 2024 yang julung kalinya diadakan.

Majlis terbabit menghimpunkan ulama dan ilmuwan Islam dari seluruh negara mengupas pelbagai topik, termasuk pengajian agama, teologi, isu sosial kontemporari, dan peranan ulama yang berkembang.

Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak yang terlibat untuk komited dalam menegakkan nilai belas kasihan, toleransi dan empati dalam semua interaksi.

“Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesederhanaan dengan menawarkan tafsiran seimbang terhadap teks agama, menganjurkan toleransi, dan membimbing orang beriman ke jalan yang benar bagi mengelakkan ekstremisme sambil menekankan keseimbangan rohani.

“Selain itu, majlis secara aktif menentang ideologi ekstremis dan memupuk perpaduan sosial melalui dialog dan kerjasama dalam kalangan peserta dengan latar belakang yang berbeza.

“Penglibatan dengan penggubal dasar adalah penting untuk menyokong dasar yang berasaskan nilai Islam yang sederhana, dalam melahirkan masyarakat yang inklusif dan saksama,” tegasnya.

Beliu turut menyuarakan pendirian kerajaan yang komited untuk membangunkan Malaysia MADANI untuk memastikan kestabilan dapat dicapai melalui nilai murni dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Penyertaan aktif, pertukaran idea, dan penubuhan hubungan baharu semasa persidangan ini menggariskan potensi kerjasama dalam menangani cabaran global yang kita hadapi.

“Di Malaysia, kami komited untuk membangunkan Malaysia MADANI, memastikan kestabilan melalui nilai dan perpaduan di kalangan masyarakat kita yang pelbagai, berdasarkan kemampanan, belas kasihan, rasa hormat, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini