comscore
Tumpuan :
Nasional

Persona dan Kancil bertembung, dua maut

Kereta Perodua Kancil yang remuk teruk selepas bertembung dengan kereta Proton Persona di Kampung Baru Ketemba, Jalan Baru-Kulim- Grik menyebabkan dua maut. – Foto: NSTP/Ihsan pembaca

BALING: Dua maut selepas kenderaan mereka bertembung dari arah bertentangan di Kampung Baru Ketemba, Jalan Baru-Kulim- Grik, di sini hari ini.

Pemandu kereta Proton Persona , Mohammad Syawal Mohd Sukri, 29, yang beralamat di Kampung Teluk Penghulu Him, Sungai Petani dan penumpang kereta Perodua Kancil, Rokiah Kassim, 59, dari Kampung Becah Sawa, Siong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, Pejabat pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Baling menerima panggilan pada jam 5.20 petang berhubung kemalangan maut membabitkan dua kereta di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kereta Proton Persona yang dinaiki Mohammad Syawal sekeluarga bersama isteri, ibu, adik dan anak perempuannya dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan untuk pulang ke rumah mereka di di Sidam, Sungai Petani.

“Kereta Perodua Kancil yang dinaiki Rokiah bersama anak lelakinya, Mohd Fawwaz Faizal, 28, dipercayai dari Kulim pulang menghala ke rumah mereka di Kampung Becah Sawa, di sini.

“Sebaik Proton Persona itu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar di bahagian hadapan sebelah kanan Proton Persona terbabit.

“Impak daripada kemalangan itu, kereta Perodua Kancil itu dipercayai berpusing dan terbabas di laluan Proton Persona,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, akibat daripada kemalangan itu, penumpang hadapan Perodua Kancil itu mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menerima panggilan pada jam 6.45 petang dari petugas Unit Kecemasan Hospital Baling (HB) memaklumkan pemandu kereta Proton Persona meninggal dunia dalam ambulan sewaktu dalam perjalanan ke HB.

“Mayat kedua-dua mangsa yang maut dalam kemalangan itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Shamsudin berkata, penumpang hadapan Proton Persona, Nor Afiqah Johari, 27, yang juga isteri kepada Mohammad Syawal mengalami patah kaki kiri manakala ibunya, Noor Milia Khidil, 54, sakit badan.

Katanya, dua lagi penumpang kereta Proton Persona terbabit iaitu adik mangsa, Ahmad Wafiy Mohd Sukri, 18, dan anak mangsa, Aisyah Mohammad Syawal (umur belum diperolehi) tidak cedera.

Pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Fawwaz pula mengalami cedera di muka.

Difahamkan, ketika kejadian Mohd Fawwaz dipercayai baru menjemput ibunya pulang bekerja di sebuah kilang di Kulim.

Loading...
Terkini